TELCO BERTEPUK SEBELAH TANGAN
Selepas kata akhir dikeluarkan
Kabinet Malaysia melalui Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Komunikasi
dan Multimedia (KKOMM) pada 16 Mac 2022, syarikat telekomunikasi di Malaysia
kelihatan acuh tidak acuh untuk menyahut seruan kerajaan untuk pembangunan
rangkaian dan infrastruktur 5G. Beberapa proksi Syarikat Pengendali Rangkaian
Mudah Alih (MNO) juga mengeluarkan kenyataan keras terhadap usul kerajaan
bahawa ia hanyalah perhiasan jendela (window dressing) yang tidak
menguntungkan MNO. Harus diingatkan bahawa agenda utama pembangunan teknologi
5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson bukanlah telaga minyak
yang diteroka untuk mengayakan mana-mana perniagaan. Tujuan utama agenda
kerajaan adalah untuk memperkasakan fasiliti dan capaian internet di seluruh
negara sekaligus merapatkan jurang digital sedia ada di negara ini yang telah
diabaikan MNO.
Model Kerjasama Awam-Swasta
Sekalipun kita berbicara soal keuntungan, MoF telah berlapang dada
sehingga melepaskan pemilikan ke atas DNB kepada MNO sehingga paras 70 peratus,
melebihi takat separuh pemilikan ke atas syarikat pengendali Rangkaian Borong
Tunggal (SWN) tersebut. Bermaksud, dalam tempoh tiga tahun ekuiti dilepaskan
kepada MNO, mereka akan memiliki suara majoriti dalam sebarang penggubalan
dasar perniagaan dan pengagihan keuntungan dari projek 5G. Apakah ini tidak
menguntungkan syarikat telekomunikasi? Muslihat apa lagi yang mahu dimainkan
MNO untuk membolot keseluruhan projek bagi tempoh tiga tahun pertama
pelaksanaan 5G?
Tawaran Rujukan Tawaran oleh DNB
Pada 31 Mac 2022, DNB telah
mengeluarkan Rujukan Tawaran (Reference Access Offer) setebal 108 mukasurat
untuk mengaturcara kerjasama pembelian spektrum terhadap MNO. Begitu keras
tentangan MNO kepada susunan kerajaan, sebelum RAO ini dikeluarkan pun mereka
sudah mengemukakan penolakan terhadap dasar kerjasama awam-swasta tersebut.
Dalam prinsip asas perkhidmatan RAO tersebut, tiga kelebihan utama telah
ditawarkan kepada pembelian spektrum MNO. Pertama, DNB menerima sebarang penerimaan
dan penolakan sekiranya ia munasabah bagi kedua-dua pihak. Kedua, tiada
diskriminasi kepada pembelian spektrum. Sekiranya kualiti penjualan internet
yang ditawarkan oleh DNB sendiri berada pada Gred A, gred yang sama akan
diagihkan kepada MNO supaya tiada pihak yang terjejas. Ketiga, DNB juga tidak
membuat pengehadan atau kekangan kepada penjualan semula internet kepada pihak
lain. Bermaksud, agihan internet masih boleh berlaku di antara syarikat
telekomunikasi yang mempunyai kekuatan kewangan berbanding syarikat lain. Ruang
perniagaan tetap dibuka kepada semua syarikat telekomunikasi tanpa sebarang
diskriminasi.
Tuduhan
kepada Kualiti Internet DNB
Susulan penerbitan RAO oleh DNB
hujung bulan lalu, terdapat tuduhan tidak munasabah berkitar di ruang maya. MNO
beranggapan bahawa DNB akan merencatkan kualiti perkhidmatan mereka kerana
kualiti produk yang dibangunkan DNB mungkin tidak setara dengan tahap
perkhidmatan mereka selama ini. Dakwaan ini adalah sangat tidak berasas
disebabkan beberapa perkara. Pertama, Rangkaian Akses 5G DNB telah direka untuk
menyediakan Malaysia dengan teknologi terkini dan tercanggih dalam akses radio.
Kelebihan utama Rangkaian Akses 5G
DNB adalah kelajuan yang lebih besar dalam penghantaran, kependaman yang lebih
rendah dan oleh itu kapasiti dan kebolehpercayaan pelaksanaan jauh yang lebih
besar, keupayaan untuk mengendalikan lebih banyak peranti yang disambungkan dan
keupayaan untuk melaksanakan rangkaian maya, menyediakan sambungan yang relevan
dan diperlukan kepada keperluan khusus individu dan perniagaan.
Kedua, mana mungkin Telekom Malaysia
(TM) dan YES YTL boleh bersetuju untuk bekerjasama dengan DNB sekiranya kualiti
yang ditawarkan seperti yang didakwa MNO? Malah, banyak vendor tempatan dan
syarikat bumiputera juga sudah mematerai perjanjian dan pelaburan bersama DNB
untuk membangunkan menara telekomunikasi serta kontrak infrastruktur yang lain
di bawah jaminan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Ketiga, kelajuan dan akses capaian
pembangunan 5G ini memang jauh lebih baik dari mana-mana teknologi terkini 4G.
Kualiti perkhidmatan bukan pemberat sebenar seperti yang diwayangkan MNO.
Agenda keuntungan kapitalis dan percaturan politik di belakang tabir yang
melengahkan urusan kebajikan dan hak asasi internet masyarakat ini akan
merugikan banyak pihak, apatah lagi hasrat negara untuk berlumba mengupayakan
digitalisasi masyarakat.
MNO ibarat mengata dulang paku
serpih. Selama ini piawai perkhidmatan mereka juga sebenarnya meragukan
sehingga kerajaan terpaksa campur tangan dalam urusan kewangan melibatkan
suntikan dana dan pembangunan telekomunikasi terpaksa dirincikan ke dalam
Rancangan Ekonomi Malaysia seperti RMK-12. Projek mega seperti Jalinan Digital
Negara (JENDELA) terpaksa dilaburkan kerajaan sehingga memakan perbelanjaan
berbilion ringgit semata-mata mahu menutup kegagalan MNO membangunkan akses dan
perkhimatan 4G sebelum ini. Dalam kekeruhan sedemikian, bagaimana MNO boleh
menjadi pihak yang layak untuk menghukum DNB akan melakukan hal yang sama
tatkala mereka tidak diberi peluang?
Berhenti Menunjukkan Belang Ketamakan
Setelah mereka gagal kali pertama
untuk memberikan konstruk yang jelas kepada pembangunan 5G negara, MoF tampil
denegan rundingan terbuka dan memilih DNB-Ericsson sebagai pemaju yang
mempunyai kredibiliti. Selepas tentangan kepada SWN, MNO sekali lagi gagal
membentangkan apakah struktur DWN mereka adalah lebih baik dari SWN semasa.
Kali ini, selepas keuntungan dicurahkan kepada mereka melalui pemilikan ekuiti
syarikat pemaju pun, MNO masih berdolak-dalih mencari jalan keluar untuk
mengingkari amanat kerajaan dan rakyat. Pembangunan 5G tidak boleh ditangguhkan
lagi. Hari ini, sekiranya pembangunan digital kita lembab dan dimalukan pada
peringkat antarabangsa, masyarakat perlu ingat bahawa ini berlaku akibat
tindakan MNO yang mengelirukan diri sendiri dan masyarakat, bukan Kerajaan
Malaysia yang telah lama bersedia.
Azzairi Rosle
Pengarah Strategik Malaysian House of Internet Sdn Bhd

Comments
Post a Comment