Ismail Sabri Menjadikan Malaysia Hub 5G
Selaras dengan keputusan tepat kerajaan untuk
menyegerakan pelancaran 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) pada 16 Mac
lalu, negara akan berkembang pesat dengan revolusi digital pada pelbagai
peringkat. Sesuai dengan peralihan negara ke era Internet of Things (IoT),
Malaysia akan muncul sebagai Hub 5G di rantau ASEAN melalui kepimpinan Kerajaan
Keluarga Malaysia YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri.
Minggu ini, semasa sambutan Hari Pengguna Kebangsaan
(HPK) 2022, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa digitalisasi
pengguna menjadi alternatif dalam mengadaptasi perubahan gaya hidup norma
baharu. Ia dapat dilihat dengan penggunaan medium dalam talian bagi pelbagai
tujuan seperti urus niaga, mesyuarat, malah sesi pembelajaran.
Pendigitalan operasi terus diperkukuh untuk membantu
usahawan tempatan bangkit semula dan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi
rakyat serta pembangunan ekonomi negara. Matlamat untuk membina Bangsa Usahawan
dan menjadikan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul akan dapat dicapai
melalui inisiatif di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).
Hari ini, selari dengan hasrat memperkasakan pengguna,
institusi perbankan sudah sekian lama bekerjasama dengan Peniaga Mikro, Kecil dan Sederhana
(PMKS) untuk memudahkan urusan transaksi termasuk penggunaan QRPay, serta
teknologi pembayaran tanpa tunai yang lain. Program Pemerkasaan Pendigitalan
PMKS Kebangsaan juga dilancarkan untuk usahawan tempatan mengadaptasi teknologi
digital ke arah transisi negara untuk membangunkan ekonomi digital bersama
pembangunan 5G.
Lawatan Perdana Menteri ke beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Thailand,
Kemboja, dan Vietnam menyatakan agenda pemerkasaan ekonomi digital yang
melibatkan pelaburan berskala tinggi. Malaysia melalui YAB Perdana Menteri
telah menyatakan kesudian untuk membantu Vietnam dan Kemboja mendepani
pembangunan ekonomi pasca COVID-19. Keperluan industri digital menjadi semakin
ketara di rantau ini dengan perubahan iklim perdagangan dan gaya hidup
pengguna.
Dalam hal ini, Malaysia telah mengambil
peluang bagi memastikan kepentingan negara terus dipertahankan selain
berperanan aktif dalam menyuarakan
kepentingan negara-negara kecil dan golongan tertindas. Hubungan antarabangsa
Malaysia akan terus menyerlah dengan pelaksanaan Kerangka Dasar Luar Negeri.
Penekanan dan pendekatan baharu turut diberikan kerajaan terhadap perkara
penting yang merangkumi Diplomasi Kesihatan, Ekonomi Digital, dan Keselamatan Siber.
15 kawasan perbandaran akan dibangunkan
sebagai Bandar Pintar yang akan merancakkan lagi pelaburan dan merakyatkan
perkhidmatan digital bermula dari Kangar sehinggalah ke Kota Kinabalu. Pelbagai
aset pembangunan termasuk pengangkutan pintar, bangunan pintar dan pertanian
pintar akan terus dipacu untuk kesejahteraan rakyat. Sembilan industri akan
terlibat dalam penjanaan sebanyak RM 650 bilion keuntungan dari keseluruhan hub
5G ini sehingga tahun 2030.
Penerokaan industri baru adalah satu keperluan untuk
masa depan. Jika Tun M ada Era Perindustrian, Ismail Sabri merupakan pemelopor
Era 5G yang akan melonjakkan lagi utiliti industri sehingga memberi manfaat
kepada ekonomi negara dan serantau. Terima kasih, tahniah dan selamat maju jaya
Dato’ Seri Ismail Sabri!
Comments
Post a Comment