DNB Membugar Ekonomi Bumiputera



Selaras dengan Teras Pembangunan Bumiputera TBP 2030 di bawah Rancangan Malaysia ke-12, projek mega pelancaran 5G di bawah seliaan Digital Nasional Berhad (DNB) sudah pastinya menjadi agenda yang dinanti-nantikan usahawan bumiputera.

Untuk menyambut hasrat kesalinghubungan rangkaian 5G di bawah DNB, Telekom Malaysia (TM) Berhad telah menandatangani kontrak perkongsian teknologi gentian bernilai RM 2 billion untuk tempoh 10 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar telah memberi jaminan bahawa vendor dan pembekal bumiputera akan menerima manfaat langsung dari kerjasama ini.

Beberapa bidang utama yang berkaitan telah dikenalpasti termasuk Perkhidmatan Kejuruteraan, Pembekalan Gentian,  Penyediaan Aksesori dan Peralatan Premis, Pembangunan Menara, serta Pembinaan Saliran Bawah Tanah.

Berdasarkan pelaksanaan aplikasi teknologi gentian semasa, TM menganggarkan lebih dari 70% keseluruhan kerja yang disenaraikan tersebut akan melibatkan syarikat tempatan terutamanya dari kalangan usahawan bumiputera.


Tangan Yang Memberi


Pembangunan Agenda Bumiputera bukan hal yang asing di bawah TM, pada tahun 2019 sahaja, sejumlah RM 938 juta nilai kontrak telah dianugerahkan kepada vendor bumiputera.


TM sebagai gergasi industri yang terlibat dalam pelan pembangunan DNB memberi gambaran awal kepada orang awam bahawa Polisi Untuk Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) akan menjadi teras dalam kejuruteraan sosioekonomi DNB.


Lebih 56 Syarikat Bumiputera Tempatan diupayakan untuk pembangunan 5G bermula Disember 2021.

Agenda Pemerkasaan Bumiputera (BEA) kerajaan bukan satu retorik. Pembangunan infrastruktur dan rangkaian 5G dalam empat fasa yang dikemukakan DNB akan memberi manfaat kewangan yang berterusan. Manfaat ini yang akan dikongsi merentas industri bermula sebesar-besar penerimaan spektrum, sehingga sekecil-kecil pembekal peralatan untuk projek kawasan.

Malah, perkembangan syarikat kontraktor kecil ini juga akan membuka ruang tambahan untuk pekerja berkemahiran tinggi dan sederhana dari golongan bumiputera.

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memberi sasaran yang lebih cemerlang. Manfaat bernilai RM 650 bilion mampu dimiliki usahawan bumiputera menjelang 2030 di bawah pembangunan 5G seliaan DNB.


Pada 26 Februari 2022 Pengerusi TERAJU, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof membawa berita gembira bahawa enam syarikat bumiputera telah menunjukkan keyakinan kepada DNB untuk melancarkan pembangunan 5G. Syarikat yang akan membuat pelaburan dalam pembangunan projek ini ialah 5G Infratech Solutions Sdn Bhd, SMTrack Bhd, Country Heights Holdings Bhd, Jiankun International Bhd, Sersol Bhd, Techna-X Bhd dan MQ Technology Bhd.


5G Infratech Solutions akan bekerjasama dengan Ennova Sdn Bhd yang sudah mendapat mandat dari DNB sebelum ini. Dua syarikat bumiputera tersebut akan membangunkan sekurang-kurangnya 10 000-unit menara pemacar untuk gelombang 5G.

Di Kuala Lumpur sahaja, syarikat bumiputera 5G Infra Tech telah bersetuju untuk membangunkan sebanyak 350-unit menara 5G. Bayangkan betapa besar implikasi pembangunan 5G kepada industri . Jika lokaliti Kuala Lumpur seluas 243-kilometer persegi memerlukan 350 menara, berapa jumlah keseluruhan menara yang diperlukan untuk mengisi negara ini dengan 5G?

Sekurang-kurangnya 11 600-unit menara untuk Negeri Selangor sahaja!


Tangan Yang Menerima


Bermula 1991 sehingga 2021, industri pembuatan logam, peralatan saintifik, perkakasan dan alat ganti di Malaysia adalah ketiga terbesar di belakang Elektrik dan Elektronik, serta Pembuatan Bahan Kimia. Sehingga tahun 2019, 38% peratus pelaburan domestik bernilai RM 263.3 juta terlibat dalam pembuatan binaan logam menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).


Setelah lebih 50 000 peniaga industri Peniaga Logam dan barang Lusuh Malaysia (MMRA) terkesan dengan pandemik COVID-19, 31 syarikat sederhana di bawah Industri Fabrikasi Logam turut terkesan akibat permintaan dalam sektor pembuatan yang tidak menggalakkan. Separuh daripada peniaga dan pengusaha industri besi dan keluli serta fabrikasi logam tempatan adalah dari kalangan usahawan bumpiutera. Maka DNB hadir untuk mengupayakan semula nafas perlahan industri yang turut dirasai seluruh dunia.


Permintaan untuk barang mentah dan perkakasan akan terus meningkat untuk menjayakan pembangunan infrastruktur 5G di bawah DNB. Di samping itu, penyediaan tenaga pakar dan berkemahiran tinggi akan diperlukan seiring perkembangan syarikat bumiputera yang dilantik sebagai subkontraktor selenggara dalam proses melengkapkan infrastruktur.

 

Belum pun buah 5G dapat dirasai, proses pembangunannya sudah cukup sejahtera. Syarikat-syarikat pembekal dan vendor tempatan perlu diberi suntikan untuk memastikan kemandirian ekonomi bumiputera di saat Malaysia kembali ke rentak ekonomi sebelum pandemik.

DNB adalah satu-satunya  harapan baru era digitalisasi ekonomi. Dalam aspirasi merakyatkan internet untuk semua, pelan pembangunan DNB tidakpun mengabaikan kepentingan masyarakat tempatan terutamanya usahawan bumiputera. Dalam resmi ekonomi, kita semua saling memerlukan di dalam sebuah kitaran kebergantungan. Tangan yang menerima, suatu hari nanti adalah tangan yang akan memberi.


Comments

Popular posts from this blog

10 SEBAB MENGAPA DEMO ‘MANA KAPAL LCS’ GAGAL

Ismail Sabri Menjadikan Malaysia Hub 5G