5G: Apa Lagi Telco Mahu?


Usai keputusan kerajaan memberikan pemilikan Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga 70% secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun, masih ada lagi proksi dari Syarikat Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang cuba menimbulkan kegusaran terhadap pelancaran rangkaian dan infrastruktur 5G di bawah DNB. Selepas 16 Mac 2022, Kenanga Research telah mengeluarkan pandangan kebimbangan kepada RangkaianTunggal Borong (SWN) yang dijalankan DNB.


Beberapa pertikaian dari Kenanga Research adalah dikitar semula sejak tahun lalu lagi. Institut kajian yang mendakwa mereka neutral dalam agenda pembangunan telekomunikasi negara ini masih lagi menunjukkan ketidakpuashatian kepada keputusan Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Sekiranya Kenanga tidak berpendapat sebarang usaha yang dilakukan Ericsson-DNB sebagai langkah penambahbaikan, ia jelas muncul sebagai pemain belakang MNO sekaligus tidak menggambarkan integriti dan kredibiliti institut tersebut sebagai pihak ketiga.


Cukup menghairankan apabila MNO tidak memberi kenyataan jelas menyokong kepada keuntungan yang mereka akan perolehi setelah keputusan menang-menang diumumkan oleh Kerajaan Malaysia. MNO seolah-olah sedang bergelut untuk mencari alasan tambahan untuk terus tidak bersetuju dengan pelan Tindakan SWN di bawah DNB. Tetapi,mengapa cadangan SWN dari MNO sendiri tidak dibentangkan pada Februari 2022 jika pada pandangan mereka, DNB bukan pilihan terbaik?


Adakah jika mereka memiliki ekuiti penuh dalam DNB, baru MNO berpuas hati? Antara alasan yang kerap diulang Kenanga ialah peranti sedia di pasaran sedia ada belum cukup untuk menyokong perkembangan 5G. Hal ini tidak boleh dijadikan propaganda hebahan Telco. Bukan peranan DNB atau salah SWN yang mempengaruhi kapasiti peranti atau gajet di pasaran. Malah, penentuan permintaan peranti termasuk telefon bimbit verkemampuan 5G akan terus meningkat selaras dengan kesediaan parasarana 5G. Sebab itu MNO perlu segera memberi sokongan kepada DNB, bukan berdolak-dalih mencari jalan lain untuk strategi keuntungan lebih besar.

Kedua, lebih menjengkelkan apabila Kenanga menyatakan kerisauan MNO jika DNB tidak mencapai Kualiti Piawai (QoS) kelajuan 5G yang boleh disediakan DNB dan akan menjatuhkan reputasi mereka. Seolah-olah reputasi MNO dengan 4G sebegitu cemerlang sebelum ini sehingga tidak langsung diragukan pengguna? Dalam ujian awal kelajuan internet dan capaian yang dilakukan DNB-Ericsson Disember lalu, sudah jelas bahawa prestasi 5G melangkaui keupayaan generasi internet sedia ada puluhan sehingga serratus kali ganda. Isu sekarang bukan tentang kualiti, MNO masih lagi mencari alasan untuk melengahkan pembangunan 5G.

Tindakan ini jelas tidak menghormati keputusan kerajaan yang selama ini bahkan memberi bantuan kepada MNO untuk menjayakan pembangunan 4G mereka yang jelas gagal dan tidak memuaskan hati pengguna. Di mana logiknya kumpulan yang gagal ini boleh terlalu yakin bahawa pemain baharu DNB dan Ericsson akan menjatuhkan reputasi mereka?


Kerisauan kepada pemulaan 5G menjadi formula MNO untuk tidak yakin kepada DNB atas alasan mereka mempunyai kawalan lemah ke atas syarikat. Timbul lagi persoalan, adakah selama pelaksanaan 3G dan 4G, prestasi perkhidmatan mereka terlalu cemerlang? Sudah tentu tidak, malah sehingga ke hari ini isu kualiti yang dibawa MNO menjadi sensasi dan kontroversi pengguna di sebalik caj yang mahal. Mengapa kali ini tiba-tiba mereka bertukar peranan mahu menjuarai hak pengguna tatkala kualiti 5G sebenarnya sudah terbukti jauh lebih baik dari perkhidmatan kawalan penuh 4G mereka? Bermaksud, isu ‘kawalan lemah ke atas DNB’ adalah isunya. Ketamakan MNO kali ini tidak lagi diselindungkan.

Sejak tahun lalu lagi, KenangaResearch sudah mengetengahkan kemahuan MNO untuk memiliki rangkaian daninfrastruktur 5G mereka sendiri. Hal ini tidak boleh dibiarkan. Campur tangan kerajaan perlu ada disebabkan kegagalan syarikat telekomunikasi konservatif ini gagal merapatkan jurang digital malah perkhidmatan di kawasan bandar juga sangat tidak memuaskan!


Keempat, jangkaan Kenanga terlalu jumud melihat kepada angka pengguna UNIFI dan YES (penggerak 5G semasa di bawah DNB) adalah sekitar 10% sahaja. Sebab itulah MNO perlu memberi kerjasama segera untuk membeli pelesenan spektrum di bawah pembangunan 5G DNB. Tindakan mencari ruang untuk pemberian tender semula bukan sahaja tidak menguntungkan pengguna, bahkan syarikat telekomunikasi juga akan menjadi lembam dan menimbulkan seribu satu persoalan yang meragukan reputasi MNO sebagai entiti degil yang tidak mahu bekerjasama dengan syarikat lain. Lebih teruk, keangkuhan ini disorok di sebalik persoalan kepada kredibiliti DNB.

Sekiranya orang awam meneliti perkembangan dan susur galur 5G di Malaysia, ramai yang akan menjadi hairan,apa lagi sebenarnya yang dimahukan MNO. Begitu besar ruang yang diberikan kerajaan untuk matlamat pembangunan ekonomi digital walaupun sejarah membuktikan betapa lemah prestasi syarikat telekomunikasi untuk perkhidmatan mereka walaupun keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda saban tahun. Akhirnya, kerajaan juga yang dipersalahkan dan menjadi kambing hitam kepada kemarahan masyarakat.












Oleh:
Osman Safee
Ketua Pegawai Penyelidik
Cyberhouse Research and Training Sdn Bhd

Comments

Popular posts from this blog

10 SEBAB MENGAPA DEMO ‘MANA KAPAL LCS’ GAGAL

Ismail Sabri Menjadikan Malaysia Hub 5G